PERUTUSAN PENGERUSI

YBHG. DR. AHMAD FAKHRUDDIN BIN FAKHRURRAZI

Bismillahirrahmanirahim,

 

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

 

Pembaca yang budiman,

 

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Anfaal ayat ke- 60:

 

وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

 “apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)”.

 

Allah telahpun menjanjikan pahala yang besar kepada setiap orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, dan dia tidak akan dirugikan sedikit pun karena menafkahkan hartanya. Sebaliknya perbuatan itu akan mendapat pahala yang berlipat ganda.

 

Yayasan Islam Negeri Kedah berusaha kearah merangka konsep pelaksanaan sedekah jariah  berstruktur dan terperinci yang menjana kesatuan ummah melalui projek DANA WAJAR yang telah dilancarkan pada 23 March 2021. Dalam melaksanakan konsep sedekah jariah ini, ia sudah pasti dapat menjana pelbagai kelebihan antaranya:

 

  1. Meningkatkan penguasaan ekonomi ummah dan kestabilan negara selaras dengan situasi kemerosotan masa kini.
  2. Masyarakat lebih prihatin dengan wujudnya saluran untuk menyalurkan juga memperoleh bantuan.
  3. Membentuk perasaan dan hati menjadi tenang melalui sifat syukur dan sifat menghormati. Tuntasnya ia dapat menghakiskan sifat tamak haloba, dendam kesumat, iri hati, dan pelbagai sifat mazmumah yang lain.

 

Oleh itu, besar hasrat kami untuk mengajak kalian bersama-sama berganding bahu bagi merealisasikan hasrat murni ini.  Yayasan Islam Negeri Kedah berbesar hati membuka ruang seluas-luasnya untuk anda menyemai saham akhirat melalui DANA WAJAR YINK yang akan digunakan khususnya untuk bantuan biasiswa kepada pelajar-pelajar terpilih, saluran bantuan kepada golongan yang memerlukan dan penaiktarafan institusi/pertubuhan yang menjalankan program pembangunan ummah dan kefahaman hal ehwal Islam.

 

Sekian, Wassalam.

 

YBhg. Dr. Ahmad Fakhruddin Bin Fakhrurrazi
Pengerusi

Yayasan Islam Negeri Kedah