PERUTUSAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

NOR AZMAN BIN NORDIN, AMK., BCK.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

 

Pembaca yang dihormati,

 

Sejak ditubuhkan pada tahun 1976, Yayasan Islam Negeri Kedah sebagai agensi Badan Berkanun Negeri telah menjana usaha-usaha Pembangunan Dakwah, Pendidikan dan Kebajikan untuk segenap lapisan masyarakat  di Malaysia secara amnya dan di Kedah Darul Aman secara khususnya.

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya Yayasan Islam Negeri Kedah berjaya menyediakan wadah kepada umat Islam mahupun juga orang bukan Islam untuk memberi sumbangan ikhlas melalui DANA WANG JARIAH YINK (DANA WAJAR) bagi membiayai dan membantu aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti berikut:

 

  • Memberi bantuan biasiswa/pinjaman pengajian kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.
  • Menyalurkan bantuan institusi pendidikan Islam, institusi ibadat Islam dan persatuan/pertubuhan yang menjalankan program pembangunan ummah dan kefahaman hal ehwal Islam.
  • Membina institusi ilmu, perkhidmatan dan kebajikan.
  • Menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang berkelayakan.

 

DANA WAJAR adalah suatu idea dan naratif baru daripada pihak Yayasan Islam Negeri Kedah dimana platform kewangan sosial ini adalah libatsama individu dan organisasi dengan tujuan yang seiring iaitu membantu memberikan kesan positif kepada masyarakat sejagat.

 

Dengan memanfaatkan platform digital dalam talian, DANA WAJAR menawarkan cara yang mudah untuk diakses oleh orang ramai seperti JOMPAY dan potongan melalui Direct Debit untuk sama-sama menyumbang dalam dana ini. Para penyumbang juga boleh melakukan sumbangan melalui potongan gaji secara automatik mahupun secara tunai ‘one-off ‘

 

Dengan tadbir urus, dasar dan struktur operasi yang tepat, para penyumbang pasti yakin bahawa dana tersebut akan disalurkan dengan sewajarnya kerana laporan mengenai kemajuan setiap aktiviti pembiayaan oleh pihak Yayasan diumumkan. Kami berharap ini dapat memberikan kesan berlipat ganda dan keuntungan ekonomi yang berterusan.

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

 

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

 

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Ulama berkata, makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf.

 

Pihak pengurusan Yayasan Islam Negeri Kedah menyeru dan mengajak masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar sama-sama menyumbang dalam DANA WAJAR ini. Pihak Yayasan juga sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan, syor serta komen yang membina ke arah menambahbaik DANA WAJAR untuk faedah semua.

 

Sekian, Wassalam.

 

Nor Azman Bin Nordin, AMK., BCK.
Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Islam Negeri Kedah